Isnin 3 Mei 2004, aku terjaga dari tidur petang (routine yang tak pernah aku miss bila balik kampong) apabila handphone aku berdering. Aku amat terkejut bila Pendi informed aku yang Nazim meninggal dunia. Berderau darah aku....lemah lutut aku. Aku bertanya balik dengan nada marah Nazim mana yang meninggal? Nazim kita la...Kepala Bataih... Aku mengelabah gila, betoi ka mamat Pendi ni? Aku segera memasang TV...ah baru pukul 4.00pm tak ada berita ringkas. Tangan aku tak henti-henti menelefon hand set Nazim dan rumah dia. Tak berjawab...aku tambah resah dan terseksa.
Azan Asar berkumandang dari masjid yang tak sampai 50 meter dari rumah mentua aku..aku segera bergegas ke masjid untuk solat asar balik dari masjid sempat aku tengok berita TV1...Segala-galanya terjawab bila berita ringkas TV1 jam 5.00 petang...tertera nama Mohd Nazim Ibrahim 30 tahun dari Kepala Batas Pulau Pinang, salah seorang mangsa disambar petir di Gunung Raja. Ah! umur tak betul dan aku masih menaruh harapan yang semuanya cuma mimpi di siang hari. Namun aku terpaku di kerusi diam membisu dan berdoa agar semuanya selamat. Aku beristighfar panjang. Tarik nafas panjang-panjang.
Bila mak mentua aku dan Isteri aku balik dari menziarahi saudara di hospital Pulau Pinang aku tak terdaya untuk bangun membuka pintu lagipun pintu tak berkunci. Aku yakin sungguh boleh berlagak macho...belum apa-apa lagi isteri ku bertanya “pasai apa bang”..entahlah katanya aku kelihatan panic and distraught. Ah memang pun tak terkeluar nak cakap Nazim dah meninggal yang nak terkeluar air mata lelaki aku. Lelaki tetap lelaki dengan kudrat yang ada aku maklumkan kepada isteri aku berita sedih dengan suara yang dapat aku rasakan menggeletar habis. . Isteri aku panik macam-macam soalan terlontar dari mulutnya yang aku tak mampu menjawab... Kami sama-sama menghadap TV menunggu berita jam 6.00 petang. Bila berita ke udara, meleleh air mata isteri ku, aku....tetap cool la konon dalam hati Allah sahajalah yang tahu.
Masih tak puas hati aku ke rumah ibu bapa Nazim di Jalan Ahmad Badawi, Kepala Batas, sah jiran-jiran memaklumkan Ustaz Ibrahim ke Pahang, anak dia Nazim meninggal. Aku balik ke rumah mentua ku tak banyak bicara hanya mampu beristighfar.
Malam itu aku tak henti-henti SMS rakan-rakan lain dan mereka juga tak henti –henti memaklumkan perkembangan terkini dari Shah Alam. Apabila mendapat berita jenazah telah diturunkan dari puncak gunung dan akan dikebumikan malam itu juga jam 12.00 aku kaget, nak rush ke Shah Alam impossible I can make it.. its normally took me four and half hour to reach Shah Alam, dalam keadaan aku yang bercelaru ini aku takut pula membahayakan aku dan keluarga dan yang pasti aku tak dapat berfikir dengan baik untuk buat keputusan balik ke Shah Alam atau tidak. Ah kenapa la awal – awal tadi aku tak terfikir nak balik Shah Alam....itulah kehendak Allah dan pasti ada hikmahnya aku tak dapat menatap wajah Nazim buat kali terakhir.
Rakan-rakan tak henti-henti SMS aku....aku dimaklumkan ramai rakan-rakan arwah yang datang hatta yang turun dari Kepala Batas pun ramai YB Aziz Shamsuddin ada, IR Khalid Samad ada, pimpinan PAS pun ramai..ramai sungguh yang menziarahi jenazah arwah.. Alhamdulillah yang solat jenazah pun ramai...Alhamdulillah habuan dia kata orang utara. Jenazah selamat dikebumikan jam 2.00 pagi
Selasa 4 Mei 2004, selepas asar, aku dan isteri melawat keluarga arwah Nazim. Isteri arwah sedang solat asar bila kami sampai. Masih ramai rakan-rakan dan saudara mara yang menziarahi keluarga arwah. Masya Allah tabah sungguh Afifa Malina Amran. Dia tetap tenang, kata maknya dia tenang sahaja kita yang lebih-lebih. Ye la yang pergi tak kembali, dalam hati hanya Allah sahajalah yang tahu.
Kami dimaklumkan, mayat arwah tak melecur langsung cuma sedikit kesan lebam di muka tu pun rakan-rakan lain yang menatap wajah arwah buat kali terakhir tak perasan pun. Arwah kelihatan amat tenang sekali dan tersenyum. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana sangka ku tentu sekali mayat beliau melecur teruk. Yang parah di dalam TV nampak melecur teruk tapi tidak begitu kepada arwah. Arwah dikatakan sempat mengadu kesejukan selepas tragedi, rakan yang ada memeluk arwah. Mereka sangkakan arwah terlena atau pengsan dan tak dapat mereka pastikan bila arwah meninggal. Itulah kehendak Allah.
Allahyarham Mohd Nazim Bin Haji Ibrahim, 35 tahun meninggalkan seorang isteri, Afifa Malina Amran yang sedang mengandung anak yang ke empat dan dua orang putera dan seorang puteri, Aisyah 8, Muhamamd Afif 7 dan Anas 3. Semoga mereka tabah menghadapi ujian Allah ini.
Allahyarham Mohd Nazim Bin Haji Ibrahim adalah sahabat karib aku...sahabat yang boleh aku dan arwah berkongsi kisah suka duka, pengapit di hari persandingan aku, guru agama aku, dia menegur aku secara terbuka yang mana amat aku hargai walaupun muka aku agak masam bila kena tegur maklumlah junior aku. Pun begitu tak pernah aku menganggap dia junior kerana arwah memang berbakat sebagai pemimpin, seorang muslim yang baik dan mempunyai kelompok sahabat baik yang tersendiri.. aku hanyalah salah seorang dari sahabat baik arwah. Arwah seorang yang disenangi oleh rakan sepejabat dan jiran. Berhemah, berbudi pekerti yang baik, suami dan ayah yang baik terhadap keluarga. Mungkin benar juga yang baik tak selalunya lama bersama kita.
Kali terakhir aku berjumpa arwah sehari sebelum pilihan raya 2004, iaitu 20 Mac 2004. Arwah sedang menyelia kerja-kerja memasang pondok panas PAS di hadapan SMK Seksyen 7 SHah Alam apabila aku lalu di dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai. Aku memberhentikan kereta dan keluar untuk bersalam dengan arwah. “Wan aku nak peluk hang nak ambil berkat” kata arwah. Aku baru 3 minggu balik dari menunaikan fardu haji. Kami berpelukan... satu yang aku rasa, tak ada orang lain yang memeluk aku dengan erat sekembalinya aku dari Mekah sehingga telinga aku rapat ke telinganya. Ramai yang memeluk aku tapi tak ada yang seerat arwah. Arwah juga berjalan ke kereta aku dan menegur isteri aku. Aku mempelawa dia ke rumah dan dia kata “Insya Allah aku memang nak pi rumah hang bila ada masa nanti”.
Sebelum aku berangkat ke tanah suci, arwah minta sangat untuk berjumpa dengan aku, kami berjumpa sambil menikmati teh tarik di restoran Hakim seksyen 7 hingga hampir lewat malam. Banyak yang kami bualkan, arwah banyak menasihati aku untuk beribadat sebaik mungkin, jangan pedulikan orang lain yang suka membuang masa di tanah suci...Pada bulan Ramadan yang lalu (1424H) arwah telah menunaikan umrah. Bila aku tanya kenapa pergi seorang sahaja, arwah cuma menjawab beliau perlu pergi dahulu kerana pergi bersama-sama dengan kumpulan pekerja Ingress, aku tak bertanya lebih lanjut walaupun dari cerita dia keputusan untuk menunaikan umrah agak tergesa-gesa. Kini aku mengerti Allah pilih arwah untuk menziarahi Baitullah dan Rasulullah. Beruntung sungguh arwah diberikan kesempatan di saat-saat akhir hidup arwah. Arwah memaklumkan kepada aku beliau juga berhasrat untuk menunaikan haji seawal tahun 2006 kalau diizinkan Allah kerana giliran beliau juga telah tiba sejak tahun lepas lagi tetapi tertangguh atas sebab-sebab yang arwah tak beritahu aku. Arwah gembira kerana aku terpilih dan berkata kepada aku, aku patut bersyukur kerana dipilihNya menjadi tetamu pada tahun ini sedangkan ramai yang tidak dapat pergi. Sebelum berpisah beliau hanya berpesan kepada aku untuk sampaikan salam beliau kepada Rasulullah SAW bila aku menziarahi Madinah nanti. Aku tak pasti bila, sama ada semasa aku di Mekah atau ketika hampir berangkat ke Mekah arwah ada SMS aku meminta aku tolong doakan di hadapan Baitullah agar anak yang sedang dikandung oleh isteri arwah menjadi anak yang soleh atau solehah dan sihat serta selamat dilahirkan.
Aku bersyukur kerana dapat menyampaikan salam arwah dan sempat mendoakan untuk anak arwah yang di dalam kandungan. Yang pasti bila aku berdoa aku sebut arwah sebagai adinda aku kerana kebetulan aku juga bakal menimang dua anak buah dari dua adik kandung aku. Ya arwah juga aku anggap sebagai adik aku. Semoga Allah makbulkan doaku dan permintaan arwah.
Kerana kesuntukan masa arwah tak berkesempatan ke rumah aku, aku serba salah kerana sejadah yang aku belikan untuk arwah sebagai kenangan tidak sempat aku berikan kepada arwah sendiri. Namun aku dan isteri aku mengambil keputusan untuk memberi juga sejadah tersebut kepada keluarga arwah. Aku tak pasti sama ada tindakan aku betul atau salah atau tidak kena pada masanya apabila aku menghadiahkan sejadah tersebut semasa menziarahi isteri arwah. Aku yakin arwah juga akan melakukan perkara yang sama sekiranya peristiwa itu berlaku kepada aku.
Terlalu banyak kenangan manis aku bersama arwah, kami pernah berkhemah bersama, memancing, aktif di dalam Jemaah Islam ITM Perlis (Jamiat), menghadiri persidangan PKPIM di Kuala Lumpur semasa menjadi pelajar ITM di mana beliau tercedera di kaki sehingga memerlukan jahitan, bersama-sama turun ke Kuala Lumpur untuk membeli kalkulator dan disket untuk diniagakan di ITM pada tahun akhir tahun 80an, arwah kehilangan kasut (abang beliau) selepas solat subuh di surau di hentian Pudu raya. Di awal persahabatan kami, kami membahasakan diri sebagai ana dan anta tetapi kami rasakan panggilan tersebut tidak dapat memesrakan kami dan agak membatasi perhubungan kami yang kian akrab lalu kami bersetuju untuk menggunakan ganti nama hang - aku sahaja dan kekal sehingga akhir hayat arwah.
Terlalu banyak kenangan aku bersama arwah, arwahlah satu-satunya sahabat aku yang aku benarkan mengambil wang dari dompet aku tanpa aku peduli berapa yang dia ambil, mengembalikan wang tanpa aku mengira atau tahu berapa yang dia pinjam dahulu. Sahabat yang menyuapkan aku gula-gula tatkala tangan aku kotor kerana membasuh pinggan di majlis kenduri kahwin.
Seperkara lagi, pencapaian akademik arwah sememangnya lebih baik dari aku. Arwah juga cemerlang di dalam kerjaya. Aku sentiasa cuba untuk menyaingi arwah di dalam diam. Kalau arwah boleh aku pun boleh. Aku memang mencemburui kejayaan arwah, cemburu yang dibolehkan di dalam Islam. Arwah sendiri selalu mencabar aku untuk terus maju ke hadapan, sekurang-kurangnya aku tahu dia juga mengiktiraf kejayaan aku, kalau tidak masakan arwah berani mencadangkan aku set up business dengan dia, malangnya ianya tidak kesampaian.
Allahyarham Mohd Nazim Bin Haji Ibrahim, seorang sahabat, rakan, saudara bagi mereka yang mengenali arwah. We will forever miss you. Semoga roh Allahyarham dihimpunkan bersama golongan anbiya dan solehin diampuni dan dirahmati Allah.
Al Fatihah
Kita selalunya tidak menghargai apa yang di sekeliling kita sehinggalah kita kehilangannya.... kalau anda mempunyai sahabat yang baik hargailah persahabatan tersebut...pupuklah ia dengan iman dan ukhuwah. Jika kita hendak lakukan sesuatu yang baik, jangan bertangguh kerana maut hanya sejengkal dari kita.
Mati itu terlalu dekat dengan anak Adam dan kita pasti sampai kepadanya bila-bila masa sahaja sama ada kita bersedia atau tidak, suka atau tidak, mahu atau tidak....bersedialah sebelum segala-galanya terlambat